Rabu, 8 Julai 2009

Santai Makan: 'Nasi Beratur' pilihan pencinta makanan



ORANG ramai sanggup beratur panjang untuk menikmati nasi kandar di 'Restoran Nasi Beratur', bersebelahan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

PULAU PINANG 7 Julai - Rakyat Malaysia sememangnya beruntung kerana negara ini kaya dengan pelbagai juadah yang enak lagi menyelerakan.

Kepelbagaian makanan yang terhasil daripada kreativiti dan skil masyarakat berbilang kaum mencetuskan satu fenomena yang menarik terutamanya kepada 'pencinta makanan'.

Golongan tersebut sanggup menghabiskan wang dan masa mereka tanpa mengira siang atau malam demi merealisasikan 'hobi' mereka itu.

Jika berada di Pulau Mutiara, luangkan sedikit masa untuk mencuba salah satu hidangan nasi kandar yang mendapat sambutan ramai masyarakat di sini.

Tidak susah untuk mencari lokasi restoran tersebut kerana ia hanya terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling, betul-betul bersebelahan dengan masjid terkenal itu.

Namun begitu, untuk menikmati hidangan di situ, tahap kesabaran pengunjung haruslah dipertingkatkan kerana mereka perlu beratur dalam barisan panjang untuk memilih lauk-pauk yang berkenan di hati.

Tidak hairanlah kedai makan itu lebih dikenali dengan nama 'Restoran Nasi Beratur' walaupun nama sebenarnya Restoran Liyaqat Ali.

Satu lagi keunikan restoran yang dibuka sejak 65 tahun lalu itu ialah juadahnya hanya boleh didapati dari pukul 10 malam sehingga 9 pagi setiap hari.

Penyelia restoran, Ismail Mohd. Ibrahim berkata, pihaknya memilih waktu operasi itu kerana ramai orang suka makan lewat malam dan awal pagi serta mereka ini pula mahukan lauk-pauk yang baru dimasak.

''Secara purata kami melayani lebih 500 pelanggan sehari yang sukakan nasi kandar kami dengan memilih lauk seperti kari daging, ayam, udang atau sotong.

''Malah, ramai juga pelancong asing yang datang dari Jepun, Australia dan Eropah," katanya di sini baru-baru ini.

Resipi yang dikekalkan sejak dibuka pada 1943 menjadi rahsia keenakan hidangan yang disediakan di Restoran Nasi Beratur.

Selain itu, adunan serta kandungan rempah ratus yang digunakan haruslah tepat dan ia menjadi kepakaran turun-temurun tukang masak di situ.

Pengurusnya, Muhammed Ashiq Sadiqul Ali, 22, berkata, biarpun cara memasak berubah daripada menggunakan dapur kayu kepada dapur moden, namun kandungan rempah serta ramuan yang digunakan terus dikekalkan.

''Kami menggunakan rempah asli dari Pulau Pinang yang diperolehi daripada kedai yang sama sejak turun-temurun untuk membangkitkan aroma masakan di kedai kami.

''Tempurung yang digunakan untuk mencedok nasi juga menjadikan nasi yang dihidangkan harum serta lain daripada kedai lain yang menggunakan piring atau senduk plastik.

''Ramai pelanggan terkejut melihat nasi dicedok menggunakan tempurung tetapi apabila merasai keenakan nasi itu, mereka memuji cara unik kami," katanya ketika ditanya rahsia keenakan hidangan di kedai itu.

Ditanya mengenai lauk yang menjadi pilihan pelanggan, Ashiq berkata, pelanggan sering memilih ayam ros dan daging masak hitam selain kuah yang dicampur antara kari daging dan kari ikan.

''Ketua Menteri Pulau Pinang serta beberapa menteri Kabinet juga pernah menjamu selera di sini serta memuji masakan yang kami sediakan," jelasnya.

Malah ujarnya, ada individu yang sanggup beratur lama untuk membeli sehingga 50 bungkus nasi kandar untuk hidangan majlis kenduri.

Namun begitu, Ashiq berkata, rahsia utama kejayaan Restoran Nasi Beratur ialah mereka tidak pernah lupa memberi sedekah makanan kepada fakir miskin serta menjamu jemaah di masjid berhampiran.

Sementara itu, seorang pelanggan, Jeffrey Khoo, 30, merupakan antara pelanggan setia restoran itu dan datang ke situ setiap hujung minggu.

''Masakan di sini enak dan sesuai untuk dijadikan tempat bertemu rakan-rakan untuk makan malam," katanya.

Haszura Che Ahmad pula memilih kari ayam sebagai hidangan yang membuatkannya sering menjamu selera di situ selain keunikan nasi yang dicedok dengan tempurung kelapa.

''Pada pandangan saya, tidak rugi beratur panjang dan mengambil sedikit masa bagi mendapatkan makanan yang istimewa," tambahnya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...