Pantai Teluk Gorek sudah lama menjadi tumpuan kumpulan pelibur
yang sekadar membuat kunjungan hari atau menginap semalam dua dalam
khemah yang dibawa sendiri.
Kalau menaiki bas dari Kuala Lumpur, perjalanan sejauh lima jam
perlu ditempuhi untuk tiba di terminal bas Mersing, Johor. Kebetulan
kembara krew EKSTRA bermula dari Kuantan, Pahang, maka bas
Transnasional yang membawa kami hanya memerlukan kira-kira tiga jam
untuk tiba di destinasi.
Itu pun dengan meminta kerjasama pemandu bas untuk menurunkan kami
lebih awal iaitu di simpang masuk Tanjung Resang, iaitu hentian pinggir
jalan sunyi yang perlu dikenal pasti sejurus melepasi Pekan Endau dan
Penyabung. Kalau turun di Mersing, tentu memerlukan kenaikan lain untuk
menyongsang arah kembali ke Teluk Gorek.
Dengan bantuan rakan yang mengambil kami dengan kenderaan pacuan
empat roda, laluan masuk ke Teluk Gorek sebenarnya lebih kurang tujuh
kilometer lagi dari pinggir jalan tersebut.
Perjalanan menuju pintu masuk Teluk Gorek Chalet & Camp Site
banyak disaji pemandangan landskap kampung dan udara segar dari laut.
Adegan seperti kerbau berkubang di lumpur, senyuman pengusaha ala inap
desa dan aktiviti perusahaan keluarga di kolam penternakan udang tidak
terlepas dari pandangan.
Sejurus ketibaan disambut pengurus dan pengusaha penginapan
berkenaan, Roseli Awang, kami ditempatkan di salah sebuah calet yang
menghadap laut. Ia dilengkapi pendingin hawa, katil bersaiz besar serta
tandas yang bersih. Paling seronok apabila mendapati tekanan air
pancuran di bilik mandi tidak mengecewakan.
"Satu nilai tambah mengenai kedudukan calet ini yang menghadap arah
Timur adalah ketika saat terbit matahari. Malah ia umpama hadiah
pertama untuk tetamu sebelum mereka memulakan hari dengan aktiviti
seterusnya," ujar Roseli yang mengajak penulis bangun seawal pukul enam
pagi keesokannya untuk melihat keindahan fajar menyingsing di horizon
laut.
Di atas tanah keluarga seluas kira-kira dua ekar itu, banyak bangunan sedang dibina dan diubah elok untuk keperluan pengunjung.
Seperti hendak mengekalkan gaya santai resort, penggunaan atap daun
nipah pada naungan bangunan tertentu nyata membantu aliran udara nyaman
di dalam calet dan di ruang dewan, biarpun ketika matahari terik
memancar.
"Selain kedatangan berkumpulan di kalangan pelajar sekolah dan
institusi pengajian tinggi, calet ini juga menjadi tumpuan kumpulan
korporat dan peserta kem bina diri yang memanfaatkan kemudahan di
sekitar calet," ujar Roseli merujuk kepada kemudahan dormitori, tapak
aktiviti lumba berhalangan, berkayak, treking hutan dan aktiviti
pendakian ke Gunung Arong.
Bagi mengisi waktu rekreasi petang, aktiviti sukan pantai seperti
futsal, bola tampar, ragbi, bola jaring dan takraw boleh disertai.
Pantai berpasir yang luas dan terjaga kebersihannya membuatkan lebih
banyak aktiviti dianjurkan di sepanjang hamparannya.
Jangan lupa untuk membasahkan diri di dada laut yang tenang dan kurang gelora.
Oh ya, pantai Teluk Gorek begitu landai kerana seseorang boleh
berjalan sejauh lebih 200 meter dari gigi air sedangkan paras air hanya
setakat mencecah dada. Bagi yang was-was tentang langkah kaki di dalam
air, percayalah bahawa dasar pantainya berpasir dan bukannya lumpur.
"Ketika air surut, tetamu calet boleh menyertai aktiviti menangkap
ikan dengan menarik pukat pantai ataupun mencari kepah dengan cara
tradisi.
"Bayangkan hasil tangkapan seperti ikan belanak, cermin dan kitang
boleh dibawa terus ke dapur dan dinikmati di meja makan," katanya.
Tentang makanan pula, kami yang sudah mengikuti hidangan sebanyak
enam kali sehari semalam, tidak terfikir untuk meminta lebih. Tiada
yang kurang kalau makan tengah hari dan makan malam disajikan dengan
hidangan kampung yang lazat.
Ada kalanya sesi menjamu selera disempurnakan dengan pencuci mulut
berupa hidangan buah-buahan segar, kuih-muih tradisional ataupun jeli
kelapa dan sarang burung ilham orang kampung.
"Saya sentiasa berpesan kepada kumpulan tukang masak agar menyediakan makanan seumpama hendak dimakan sendiri.
"Kuali makanan sangat penting untuk pelanggan kami," kata Roseli
yang mengingatkan agar sebarang tempahan perlu dilakukan lebih awal
agar tidak terlepas peluang berlibur di Teluk Gorek.