Jumaat, 6 Februari 2009

Zoon In Malaysia : Jepun yang tersembunyi

Jauh di dalam hutan tebal di ketinggian 3,500 kaki di atas
paras laut, sebuah taman ala Jepun dicipta khusus untuk para pencinta
alam.












SPESIES tumbuhan dari Jepun hidup subur bersama pokok-pokok tropika Malaysia.









GELAGAT kumpulan ikan koi yang jinak begitu mencuit hati.









ELEMEN jambatan menjadi pelengkap landskap tipikal Jepun.









TAMAN Jepun dihubung secara langsung dengan taman botani.





KALAU merencana detik percutian hujung minggu ke Bukit Tinggi
Resort, Pahang dan inginkan persinggahan yang tenang dan mendamaikan,
inilah tempatnya. Taman yang direalisasi daripada ilham arkitek Jepun,
Kaio Ariizumi, ini sememangnya hadiah istimewa buat mereka yang
mencintai kehijauan hutan tropika tanah tinggi.


Dalam suhu dingin dan kesegaran bekalan oksigen daripada pokok-pokok
hutan semula jadi, Ariizumi dan kumpulan pereka landskapnya berjaya
menghidupkan penataan seni yang membangkitkan rasa damai di kalangan
pengunjung.


Tidak banyak berbeza daripada elemen rias taman Negara Matahari
Terbit, Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan pintu gerbang
chumon dan laluan denai yang kemas. Seni dan falsafah Jepun banyak
melatari persekitaran taman, baik pada pemilihan bangku rehat, jenis
tanaman hiasan hinggalah kepada reka bentuk keseluruhannya.


Perasaan dilayangkan seketika ke dalam adegan drama-drama Jepun
apabila melewati deretan rumpun buluh tinggi dan juga pokok-pokok renek
dan ara bonsai. Dalam pada menghargai perkampungan tersembunyi ini
dengan mata, deria pendengaran juga pasti terpaut pada irama yang satu
ini.


Aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke
bongkah-bongkah batu berlumut nyata menjadi tarikan istimewa!
Disempurnakan pula dengan pembinaan kolam ikan yang menghimpunkan
spesies koi dalam warna-warna garang.


Si comel bersisik kuning, merah, emas, dan perak itu tidak malu-malu
untuk meminta makanan setiap kali ternampak kelibat manusia. Dalam leka
menabur palet makanan yang dijual pada harga serendah RM5 sebungkus,
takungan kolam indah dan anak sungai cetek itu seterusnya membawa
pengunjung ke pusat tumpuan taman.


Apa yang dimaksudkan adalah sebuah binaan pondok teh yang turut
bertindak sebagai pusat maklumat. Bagi yang tidak pernah sampai ke
Jepun, inilah masanya untuk mempelajari adat bertandang ke kediaman
yang bertikar tatami dan berpintu gelangsar kertas.


Sama ada mengikuti ritual tradisi meminum teh panas atau mendekati
pembuatan kraf tangan negara itu, pondok tersebut memang tidak putus
menerima kunjungan sepanjang waktu operasi.


Melalui risalah yang disediakan, sebuah taman Jepun perlu memiliki
elemen penting seperti pulau, jambatan, pelita batu dan juga sebuah
pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat direka
secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan.


Walaupun sudah puas berjalan dan mengenal spesies tumbuh-tumbuhan
yang dilabel khas, adalah terlalu awal untuk mengucapkan sayonara. Apa
kata anda kunjungi dahulu restoran Ryo Zan Tei yang menghubungkan taman
itu dengan laluan ke Taman Botani.


Bagi yang mahu merasai tradisi kehidupan Jepun secara lebih intim,
jangan lupa untuk merasai perkhidmatan belaian tubuh dan penginapan
eksklusif di Tatami Spa dan Ume Tatami Suite yang terletak berdekatan.




PELBAGAI jenis teh dan hidangan Jepun disajikan di Restoran Ryo Zan Tei.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...