Ahad, 15 Mac 2009

Santai Wallpaper: Wonder Nature





Santai Wallpaper: Birds




Santai: Bersiar-siar di bandar George town (Kosmo)

Anda kini tidak perlu bimbang dengan kesesakan di George Town, Pulau Pinang kerana Central Area Transit (CAT) menyediakan perkhidmatan mengelilingi pusat bandar tersebut secara percuma.


KUNJUNGAN anda ke Pulau Pinang semakin selesa dengan kemudahan yang ditawarkan oleh CAT.


SEDEKAD yang lalu, pengangkutan awam di Pulau Pinang, khususnya pengangkutan darat kurang memberikan impak terhadap pelancongan. Ini kerana sistem pajak basnya tidak memberi imej positif.

Namun sejak pertengahan tahun 2007, satu suntikan baru diberikan ke atas sistem pengangkutan darat iaitu Rapid Penang. Sehingga hari ini, ia dilihat mampu mempamerkan kebolehan yang maksimum dan perkhidmatan berkualiti.

Sejak lebih sebulan lalu, dengan perkhidmatan percuma, Central Area Transit (CAT) berlegar di sekitar bandar raya George Town.

Bagi Sonia Menon, 21, lulusan diploma fesyen dan pelatih di salah sebuah butik fesyen di bandar ini, CAT adalah satu kemudahan untuk pelancong dan penduduk setempat bersiar-siar di Pulau Mutiara.

Walaupun perlu banyak berjalan mendapatkan ilham untuk tugas kreatifnya, bas awam adalah pilihan utamanya.

"Jika bukan bas awam, maka saya akan menggunakan kereta ayah. Tetapi sejak kecil hingga sekarang saya banyak menggunakan pengangkutan awam," kata Sonia yang ditemui di Perhentian Weld Quay, George Town.


KOTA CORNWALIS salah satu tarikan yang terdapat di George town, Pulau Pinang.


Menemani penulis untuk melawat bandar raya George Town menggunakan bas CAT, Sonia berkata, kini ada cara mudah untuk melawat bandar George town. "Hanya duduk dalam bas ini. Kita akan kenal setiap tempat menarik di sini," katanya sambil menunjukkan arah Masjid Kapitan Keling di Jalan Kapitan Keling.

"Saya tidak perlu turun bas tetapi hanya dengan duduk di sini sudah cukup untuk saya menikmati keindahan bandar ini dengan percuma.

"CAT berhenti di hampir semua lokasi pelancongan yang menarik di Pulau Pinang. Misalnya dari Weld Quay, kita boleh ke Kota Cornwallis, gereja-gereja di sekitar Lebuh Light, Muzium dan Galeri Seni, Jalan Penang, Chowrasta, Komtar, tokong-tokong Cina, Little India, Padang Kota dan banyak lagi," jelasnya menyenaraikan beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Tambah Sonia yang merupakan Miss Pesta Pulau Pinang 2008 dan dipilih sebagai Duta Pelancongan Pulau Pinang, selaku warga Pulau Pinang, dia amat berbangga dengan kemudahan bas percuma yang disediakan itu.

"Secara tidak langsung kemudahan ini dapat menyenangkan perjalanan kepada pelancong. Lebih penting ialah bas ini amat selesa, luas, bersih dan sejajar dengan kehendak semasa," tuturnya.


CAT menawarkan keselesaan kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatannya.


Kata Sonia, pemandu bas yang digelar sebagai 'kapten' sangat peramah dan sedia membantu memberi bimbingan jalan.

Laluan bas CAT mengelilingi pusat bandar George town merangkumi pusat-pusat perbankan, tapak warisan bersejarah, pusat beli-belah, lokasi tarikan pelancong, pejabat-pejabat kerajaan, Komtar dan Terminal Pengkalan Raja Tun Uda.

Dengan perkhidmatan yang percuma ini, Rapid Penang bersama-sama Kerajaan Negeri percaya dapat menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan industri pelancongan di bandar bersejarah itu.


TEROMPAH mini ini merupakan barangan kraf yang boleh dibeli di Little Penang Street Market.





Pengurus Komunikasi Kreatif Rapid Penang, Yap Lee Ying yang ditemui di pejabatnya di Lorong Kulit berkata, sebanyak tiga buah bas berhawa dingin disediakan dengan perjalanan ulang alik dari Weld Quay atau Terminal Feri Raja Tun Uda ke Komtar.

"Sebanyak 19 buah perhentian bas disediakan sepanjang laluan bas CAT dengan kekerapan berlepas setiap 15 minit dari stesen pertama bergantung kepada lalu lintas," kata Lee Ying.

Lahirnya CAT adalah cadangan yang diberikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, terang Lee Ying. Namun, nama tersebut bukan sahaja diperoleh hasil implikasi politik pemerintahan kerajaan negeri tetapi nama tersebut juga digunakan untuk bas-bas percuma yang beroperasi dalam bandar di Australia.


BANDAR George town pada waktu malam penuh dengan keindahan.


Perkhidmatan CAT yang beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam menepati kehendak penumpang khasnya pelancong yang mahu bergerak dalam bandar.

Ia diperkukuhkan lagi dengan pengaplikasian Sistem Pengesanan Global (GPS) yang memudahkan penumpang mengenali kedudukan bas menerusi panggilan telefon atau yang akan datang, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menambah kepada segala kemudahan dan fasiliti yang ada kepada CAT dan juga bas henti-henti Rapid Penang yang lain, Lee Ying memberitahu, pada masa akan datang, pihaknya juga akan memasang perkhidmatan Wi-Fi dan memperkenalkan sistem e-tiket untuk perkhidmatan bas antara bandar.

"Ia dijangka dilaksanakan pada bulan Mei ini,'' katanya.

Dalam pada itu, bas CAT yang berlepas setiap 15 minit itu turut digunakan untuk tujuan pelancongan berskala besar atau berkumpulan.

Ia menerusi pengenalan satu pakej lengkap di mana selain membawa penumpang ke lokasi pelancongan, ia juga akan memudahkan akses pelancong ke hotel-hotel dan restoran.

Dengan pakej yang berharga RM20 untuk penggunaan selama seminggu, pelancong juga boleh menggunakannya sebagai akses diskaun ke lokasi lawatan, hotel dan restoran.


SEJAK lebih sebulan yang lalu, orang ramai dan pelancong berpeluang menikmati perkhidmatan Central Area Transit secara percuma.


Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM50,000 sebulan atau RM600,000 setahun untuk tiga bas itu yang dibiayai oleh kerajaan negeri, ia dilihat satu pelaburan jangka panjang yang baik untuk kedua-dua pihak. Namun jumlah bas yang ada buat masa sekarang dilihat tidak dapat menampung jumlah pengguna.

Justeru, dalam satu perjumpaan dengan Guan Eng baru-baru ini, beliau mahu Rapid Penang menambah bilangan bas.

"Oleh kerana kerajaan negeri membayar amaun yang tinggi, kita harap jumlah bas dapat dipertingkatkan," katanya.

Antara laluan baru yang akan diperkenalkan ialah Little India, Muzium, Lebuh Mentri, Jalan Penang, Komtar, Kampung Kolam, Dewan Seri Pinang, Kota Cornwalis dan Lebuh Downing.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...