Jumaat, 7 November 2008

Sarat ukiran kerawang

Meninjau rumah lama terakhir di Permatang Kling.




CIRI klasik rumah ini seumpama kembali ke zaman silam.




LETAKNYA di tepi jalan utama Bagan Serai-Butterworth membuatkan sesiapa saja pasti menoleh beberapa kali ke arahnya.


Manakan tidak. Keutuhan rumah lama yang dibina dengan menggunakan kayu jenis meranti emas ini tidak reput merentasi masa.


“Rumah pusaka ini dibina sekitar tahun 1929 oleh datuk saya. Kami
terus mengekalkan ciri-ciri asalnya,” ujar waris rumah ini, Normah
Puteh, 48.


Didirikan di atas tanah seluas 1.2 hektar, setiap bahagian rumah ini disambung tanpa sebatang paku pun.


“Tukang kayu dahulu menggunakan teknik sangkap,” kata Normah yang turut mengagumi idea bapanya dalam membina rumah lama itu.


Ujar si suami, Abdul Hamid Abdul Wahab, 52, meskipun bahagian dapur
telah digantikan dengan binaan batu, ia tidak menjejaskan keistimewaan
kediaman yang mengadap sebatang sungai kecil ini.




PENCAHAYAAN semulajadinya memberi impak tersendiri di ruang tamu.




Menambah nilai klasik, ukiran awan larat pada dinding ibu rumah cukup memberi impak kehebatan pertukangan Melayu.


“Di dinding utama, bingkai tingkap serta alang rumah semuanya diukir termasuklah di bahagian pintu masuk,” katanya.


Malah tidak keterlaluan sekiranya dikatakan pengunjung seolah-olah
berada pada zaman kerajaan Melayu Melaka tatkala melangkah masuk ke ibu
rumah tersebut.


Dengan derapan bunyi lantai yang terhasil ketika kaki memijak serta
haruman kayu yang menusuk, mata pengunjung pasti terpegun melihat
ukiran kerawang bermotifkan bunga dan rama-rama.




BARANGAN antik turut menjadi sebahagian hiasan dalaman.




Walaupun berbumbung rendah, ruang beranda dan hadapan rumah ini
tidak pernah panas. Sesekali, angin menderu masuk menerusi tingkap dua
daun yang penuh dengan ukiran bermotifkan flora. Ia sekali gus
mendinginkan ibu rumah.


“Inilah istimewanya rumah lama. Corak yang menghasilkan
lubang-lubang ini secara tidak langsung menjadi kipas untuk menyejukkan
ruang rumah walaupun berbumbung rendah,” jelasnya.


Cerita pengajar bahasa Inggeris di Pusat Bahasa dan Terjemahan
Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Bagan Serai
ini, ramai yang kagum dengan keunikan tingkap rumahnya.


“Tingkap dalam tingkap. Pasti jarang yang dapat melihat anak tingkap
yang dibina bagi memudahkan meninjau keadaan di luar rumah pada waktu
malam,” cerita Abdul Hamid mengenai enam buah tingkap yang terdapat di
ruang tersebut.








Adat rumah lama yang menekan keluasan ruang, susun atur rumah ini
juga menggunakan pendekatan itu apabila hanya terdapat sebuah bilik,
beranda dan ruang tamu.


“Itu dulu. Sekarang ni, bilik utama dikekalkan di samping tambahan
beberapa buah bilik lagi bagi keselesaan ahli keluarga,” jelasnya.


Mengelilingi rumah ini menemukan kami dengan sisi rumah yang mempunyai tangga yang membawa penghuninya terus ke ruang dapur.


Jelas Abdul Hamid, tangga tersebut diwujudkan bagi memudahkan kaum
wanita untuk turun naik ketika ada tetamu lelaki di ruang hadapan.


“Ruang dapur sebenarnya searas dengan ruang hadapan ini namun atas
sebab-sebab tertentu, ia dirobohkan dan dibina lebih rendah. Namun
keadaan asalnya masih dikekalkan,” katanya.




TINGKAP sederet yang dipenuhi ukiran kerawang.




Jelasnya lagi, rumah ini sengaja dibina tinggi iaitu lebih satu
meter dari tanah dan ia terus bertahan kerana kayu meranti emas yang
sentiasa disapu minyak.


“Dari dulu hingga sekarang, belum pernah ada tanda-tanda serangan
anai-anai dan ia mungkin disebabkan kami sentiasa mengecat dengan
minyak setiap dua atau tiga tahun sekali,” kata Abdul Hamid.






ANAK tingkap-elemen yang semakin sukar dijumpai dalam seni pertukangan masa kini.





Melihat pada persekitaran, nyata rumah yang dikelilingi dengan pohon
mempelam dan buah-buahan tempatan lain seperti rambutan ini lebih
tinggi berbanding rumah lain di sekitarnya.


“Di sebabkan ia berhampiran dengan parit, rumah ini dibina tinggi
bagi mengelakkan air memasuki rumah kalau hujan lebat,” ujarnya.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...