Isnin, 27 Oktober 2008

Blog Dalam Pembinaan..

Buat masa skang ni, Blog aku tengah dalam proses pembikinan lain. Saja nak ubah citarasa....

Bersatulah demi islam




Zukifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.


“Dalam bercakap soal Islam tiada siapapun dalam
parti saya boleh melarang kerana ia adalah hak saya,’’ itulah jawapan
yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dari Parti Keadilan
Rakyat, Zukifli Noordin kepada penulis apabila ditanya tidakkah beliau
bimbang untuk diwawancara oleh Mingguan Malaysia - akhbar yang diboikot
oleh Pakatan Rakyat.

Sememangnya dalam mempertahankan Islam, Zulkifli dilihat salah
seorang pemimpin yang paling lantang. Tanpa mempedulikan akibat
daripada kelantangannya, Zulkifli pernah dihadap ke jawatankuasa
disiplin PKR kerana membantah majlis forum ‘Memeluk Islam’ anjuran
Majlis Peguam.


Bagi Zulkifli memperjuang dan mempertahankan Islam adalah agenda
utama hidupnya, soal karier politik ‘‘itu saya serah kepada Allah
menentukannya.’ Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia,
ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur,
Zulkifli secara terbuka bercakap soal betapa pentingnya umat Islam
bersatu tanpa mengira fahaman politik.


Beliau membangkitkan bagaimana kaum-kaum lain boleh bersatu apabila
terdapat isu yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Justeru kata
beliau adalah sesuatu yang menghairankan apabila ahli-ahli politik
Islam yang mempunyai akidah yang sama tidak mampu bersatu.


Malah apa yang mengecewakan beliau kelantangannya menegakkan
perjuangan Islam turut ditegur oleh Ahli Parlimen Pas yang pada
pandangan beliau seharusnya memberi sokongan. Justeru dalam menyatukan
umat Islam, Zulkifli berpendapat berikutan sikap taksub kepartian yang
masih lagi melumuri sesetengah pemimpin politik beliau mencadangkan
Raja-Raja Melayu memainkan peranan pro aktif dalam soal itu. ‘‘Sudah
tiba masanya kita bersatu demi Islam,’’ kata beliau.


MINGGUAN: YB telah membangkitkan soal kenyataan khas Raja-Raja Melayu dalam Parlimen, apa tujuan sebenarnya?


ZULKIFLI: Kenyataan khas Raja-Raja Melayu itu ingin memperingatkan
semua pihak bahawa perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan
tidak perlu dipersoal atau dipertikaikan. Saya kupas dalam konteks
bahawa Islam ini bukan sahaja dari segi syarak dikatakan tinggi tetapi
Perlembagaan negara sendiri meletakkan Islam itu tinggi. Pertama, ia
berdasarkan kepada beberapa peruntukan contohnya Artikel 3 Perlembagaan
Persekutuan yang tidak ada di mana-mana negara pun. Artikel itu
mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi
orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama
dibenarkan tetapi dari segi umat Islam ia tidak boleh diganggu.


Malah negeri-negeri juga dibolehkan menggubal sebarang akta dan
undang-undang menyekat perkembangan agama lain kepada orang Islam.
Ketiga, di bawah Artikel 12 kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri
hendaklah membantu institusi-institusi pendidikan Islam. Lagi satu
contoh ialah Perlembagaan menetapkan penubuhan sebuah mahkamah khusus
untuk orang Islam bagi melaksanakan undang-undang Islam.


Ini semua adalah antara peruntukan yang ada dalam Perlembagaan yang
memberi gambaran jelas bahawa Islam diletakkan di tempat yang tinggi.
Keistimewaan ini juga boleh kita lihat apabila di bawah Artikel 150
menegaskan bahawa Yang di-pertuan Agong apabila mengisytiharkan darurat
boleh bersama dengan Parlimen menggantung atau membatalkan
undang-undang atau membuat apa sahaja perkara yang perlu untuk darurat
itu tetapi di bawah Artikel 150 (6A) menyatakan biarpun mempunyai kuasa
yang begitu luas satu perkara tidak boleh disentuh ialah undang-undang
Islam. Jadi dalam konteks itu sahaja sudah nampak bahawa Perlembagaan
Persekutuan sendiri meletakkan Islam di tempat istimewa yang tidak ada
pada agama lain malah dalam Perlembagaan tidak sebut pun agama lain.


Keadaan itu berlaku, pertama kerana ia berdasarkan kepada asal usul
sejarah negara ini dan kedua, Islam itu menjadi tonggak kestabilan
politik negara ini. Sebab itu Islam tidak boleh diganggu-gugat dan
sekaligus ia bermakna perkara yang ada kaitan dengan Islam tidak boleh
disentuh contohnya Raja- Raja Melayu. Ini kerana mereka adalah
pelindung kepada agama Islam, kedua takrif orang Melayu dalam Artikel
160 Perlembagaan Persekutuan selain berbudaya dan berbahasa Melayu, dia
mesti beragama Islam.


Oleh itu kaitan antara Melayu dengan agamanya itu rapat. Sehingga
ada kata-kata bahawa Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Kalau dilihat
secara menyeluruh dalam Perlembagaan keistimewaan dan ketinggian agama
Islam itu memang ditetapkan.


Jadi disebabkan itu Islam sebenarnya tonggak kestabilan politik
dalam negara dan tonggak keharmonian rakyat negara ini. Justeru apa
juga perkara berkaitan Islam tidak boleh ‘main-main’.


Tetapi sejak kebelakangan ini soal Islam itu sering diganggu-gugat.
apakah ini mungkin berpunca daripada perpecahan yang berlaku di
kalangan orang Melayu?


ZULKIFLI: Ia terjadi kerana kemungkinan ada pihak sedar bahawa di
situ terletaknya tonggak kekuatan negara. Jadi apabila Islam dilemahkan
atau diganggu-gugat akan berlaku ketidakstabilan politik. Apa yang
berlaku sekarang ialah wujud persepsi bahawa orang Melayu itu tidak
bersatu. Sebab itulah Raja- Raja Melayu bertitah dalam konteks ini
bahawa orang Melayu perlu bersatu dari segala segi walaupun berbeza
fahaman politik dan lain-lain.


Sebab itu kalau kita tengok dalam konteks politik sebenarnya kalau
orang Islam bersatu dari segi mempertahankan Islam bukannya siasah
(politik) seperti bergabung dan sebagainya Islam akan menjadi kuasa
politik yang kuat. Contohnya, dalam Parlimen terdapat 132 ahli Parlimen
beragama Islam. Mungkin kita tidak boleh bersatu dari segi kepartian
tetapi kenapa kita tidak boleh bersatu dari segi mempertahankan Islam?
Seharusnya walaupun kita berdiri atas platform parti politik
masing-masing kita perlu bersatu apabila timbul isu berkaitan Islam.


Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau semua ahli Parlimen Islam
bersatu suara dalam hal ehwal Islam, sudah pasti ia akan menjadi kuasa
yang cukup kuat malah hampir-hampir dua pertiga.


Lihat kaum lain mereka akan bersatu kalau timbul isu berkaitan
dengan kaum mereka. Contohnya, isu penahanan di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) mereka bersatu suara walaupun daripada parti politik
yang berbeza. Kenapa dalam Parlimen mereka boleh bersatu maksud saya
dalam memperjuangkan sesuatu isu. Ini yang seharusnya dilakukan oleh
orang Islam. Mereka perlu bersatu dalam isu walaupun tidak boleh
bersatu dari segi politik.


Tidakkah saudara khuatir implikasi perjuangan saudara memartabatkan Islam kelihatan tidak senada dengan Pakatan Rakyat?


ZULKIFLI: Sebagaimana yang telah saya tekankan banyak kali, saya
utamakan Islam dalam apa juga perjuangan. Saya akui saya bukanlah
Muslim yang terbaik, tetapi saya akan berikan yang terbaik untuk Islam.
Bagi saya, Islam mesti didahulukan dalam apa jua perkara. Kalau
ditakdirkan perjuangan memartabatkan Islam ini bercanggah dengan
perjuangan Pakatan Rakyat atau mana-mana parti sekalipun, saya tetap
akan utamakan Islam. Seperti yang pernah saya sebut, I am a Muslim
first, party member second; I am a Muslim first, a lawyer second. I am
a Muslim first an MP second. I am a Muslim first, everything else is
second.


Walaupun YB bercakap tentang Islam tetapi Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad menganggap nada YB seperti suara UMNO?


ZULKIFLI: Inilah contoh bagaimana orang Islam tidak boleh bersatu
dari segi isu bukannya politik. Apatah lagi kalau penentangan itu
datangnya daripada Ahli Parlimen Pas. Dia bercakap seolah-olah dia
bukan orang Pas. Ini yang menjadi masalahnya. Apa yang saya bahaskan
dalam Parlimen adalah menyentuh soal Islam dan sama sekali tidak
berkaitan dengan politik. Sepatutnya dia menyokong saya tetapi
disebabkan tebalnya fahaman kepartian dia mengambil sikap menolak hanya
kerana bunyi ucapan saya boleh menyokong UMNO sedangkan apa yang saya
ucapkan boleh membantu Islam. Saya sempat bertanya dengan beliau dari
segi apakah ucapan saya salah. Dia jawab isu berkaitan Islam dan orang
Melayu itu dimainkan oleh UMNO. Kalau macam itu tidak bolehlah. Dia
sepatutnya menyokong saya. Ertinya, kita ini mengamalkan sikap ikut
kepartian bukan isu.


Bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini kerana UMNO perlu
menjaga hati rakan-rakan dalam BN manakala PKR dan Pas pula menjaga
hati DAP bila hendak bercakap soal Islam?


ZULKIFLI: Di sini saya rasa perlu ada satu pihak yang memainkan
peranan untuk memanggil kesemua pemimpin politik beragama Islam duduk
semeja berbincang. Kita jangan cakap dari segi Melayu tetapi cakap dari
segi Islam. Ini kerana kalau kita bercakap dari segi Melayu pasti ada
yang akan menentang. Saya berpendapat pihak yang paling efektif untuk
memainkan peranan berkenaan ialah Raja- Raja Melayu, mungkin Yang
di-Pertuan Agong sendiri. Mungkin mula dengan persamaan bahawa kita
satu tuhan, satu nabi dan satu kitab. Kalau UMNO panggil Pas tidak akan
pergi begitulah sebaliknya. Tetapi kalau Tuanku panggil mereka pasti
akan menyambutnya.


Bukankah sebelum ini sudah ada pakatan antara UMNO dan Pas dalam soal itu?


ZULKIFLI: Tetapi ia gagal kerana pendekatan yang digunakan ialah
pendekatan parti. Ia tidak akan berjaya. Apa yang harus dilakukan ialah
menggunakan pendekatan isu seperti mana dibuat oleh bangsa lain. Mereka
menggunakan pendekatan isu. Sebab itulah kalau kita lihat biarpun MIC
dan PKR mempunyai fahaman politik yang berbeza tetapi dalam isu Hindraf
mereka bersatu. Begitu juga dalam isu Teresa Kok kenapa MCA dan DAP
boleh satu suara. Jadi yang hairannya kenapa kita orang Islam tidak
boleh berbuat demikian?


Pemimpin-pemimpin politik Islam bukannya tidak memahami bahaya yang
menanti, selain Raja- Raja Melayu tidakkah ada mekanisme lain untuk
menyatukan mereka?


ZULKIFLI: Mereka perlu duduk berbincang. Sebab itulah pentingnya ada
muzakarah atau muqabalah. Bagaimanapun saya tidak nampak cara itu akan
berkesan. Bagi saya dalam usaha ini ia harus melibatkan pihak yang
neutral. Sebab itu dalam ucapan di Parlimen saya menegaskan bahawa
Raja-Raja Melayu perlu memainkan peranan yang lebih aktif.


Ini kerana saya lihat itu sahaja caranya untuk menyatukan orang
Melayu dan Islam. Justeru Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan
kerana pihak-pihak lain sudah dianggap mempunyai sikap taksub yang
tebal terhadap parti.


Tidakkah tekanan demi tekanan yang berlaku ke atas orang sekarang
adalah berikutan keputusan pilihan raya umum, YB bersetuju dengan
pandangan ini?


ZULKIFLI: Masalahnya bukan Melayu merasakan mereka yang mencetuskan
perubahan atau tsunami politik pada 8 Mac lalu. Oleh itu orang kata
sekarang ini masa untuk mengutip habuan. Bagi mereka yang duduk dalam
Pakatan Rakyat ia adalah masa untuk ‘membayar balik’. Tetapi hakikat
sebenarnya perubahan berkenaan bukan sahaja berlaku disebabkan oleh
orang bukan Melayu tetapi juga orang Melayu. Kita tidak menafikan
bahawa ia terjadi kerana orang Melayu melihat bahawa ‘penyakit’ di
dalam UMNO sudah bertambah parah.


Bagi bukan Melayu atau bukan Islam sekarang, mereka berasa menjadi
pencetus kepada gelombang perubahan ini, oleh itu mereka yang berada
dalam Pakatan Rakyat harus patuh dengan tuntutan mereka. Sebab itu
berlaku di mana Ahli Parlimen Pas yang seharusnya menyokong saya
bertindak sebaliknya. Ertinya tidak boleh bercakap soal Islam atau
negara Islam. Kita seolah-olah bimbang kalau main banyak sangat isu
Islam kita akan kehilangan sokongan bukan Islam ertinya harus mengikut
teori kononnya tsunami itu dicetuskan oleh bukan Islam.


Dalam soal ini saya menasihatkan pemimpin Islam supaya jangan kita
hilang gambaran besar iaitu Islam. Buat apa hendak kita berkuasa kalau
kita kehilangan agama kita.


Dalam menegakkan hak Islam ini kita juga berhadapan dengan orang Melayu yang tidak menyokong perjuangan seumpama itu?


ZULKIFLI: Apa yang menjadi kerisauan kepada kita ialah muncul
kumpulan baru di kalangan generasi muda orang Melayu yang longgar
kepada agama. Mereka ini mempunyai fahaman Islam liberal. Golongan ini
sudah nampak mula melonjak. Satu sebabnya mereka ini terdiri daripada
golongan elit dan terpelajar justeru pendedahan mereka terhadap dunia
siber lebih luas berbanding orang lain. Mereka dilihat sebagai golongan
yang mewakili suara Melayu baru. Ini bermakna berlaku satu lagi pecahan
di kalangan orang Melayu Islam. Seperkara lagi, fahaman golongan muda
berusia 20-an dan 30-an terhadap sejarah agama dan bangsa terlalu
longgar kerana mereka terdedah kepada idea-idea liberal sebab itu
mereka mengambil sikap sedemikian. Mereka ketepikan soal agama
sebaliknya mengutamakan soal hak asasi manusia. Kalau tidak ditangani
segera masalah ini khuatir bangsa kita menjadi satu bangsa berbeza-beza.


Siapa yang hendak menangani masalah ini?


ZULKIFLI: Tanggungjawab ini terletak kepada kepimpinan politik Islam
sama ada UMNO atau Pas termasuklah juga Raja-Raja Melayu. Kita harus
bertindak daripada sekarang dan tidak boleh menunggu lagi. Kalau kita
biarkan fenomena berkenaan orang Melayu boleh terancam. Jadi
tanggungjawab besar ini ada kepada kepimpinan politik Melayu-Islam.
Mereka perlu mainkan peranan pro aktif bagi menghalang satu bencana
kepada bangsa Melayu beragama Islam. Kita tidak mahu satu hari nanti
Melayu hanya tinggal nama sahaja. Kekuatan bangsa Melayu adalah kepada
agama Islam kalau tidak ada agama Islam berakhirlah mereka. Mereka akan
jadi seperti bangsa-bangsa lain. Justeru bagi saya pendekatan berdakwah
perlu ditingkatkan. Tetapi malangnya badan dakwah dalam kerajaan
terlalu banyak sehingga peranan mereka bertindih akhirnya fungsi mereka
tidak berkesan.


Dalam usaha kita untuk mengelak muncul golongan generasi baru Melayu
yang longgar kepada agamanya mahu tidak mahu usaha berdakwah kepada
golongan ini perlu dipertingkatkan. Secara peribadi, saya berpendapat
pendekatan yang pernah digunakan oleh Al-Arqam yang mampu menarik
golongan muda menyertai mereka harus dipelajari. Begitu juga pendekatan
yang digunakan oleh kumpulan Tabligh.


Sepanjang penglibatan saya dalam perjuangan Islam saya tidak pernah
melihat agensi dakwah kerajaan memanggil kumpulan-kumpulan Islam duduk
berbincang bagaimana hendak mendekati kaum muda. Saya cukup yakin
dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi
yang saya lihat mempunyai pendekatan cukup berbeza. Beliau memanggil
semua pihak untuk berbincang. Berikutan sikap terbuka beliau saya fikir
inilah peluang terbaik untuk kita memperkembangkan dakwah kepada
golongan muda.


Selain itu saya berpendapat sudah tiba masanya badan-badan dakwah
kerajaan berdakwah kepada bukan Islam. Salah satu contoh terbaik ialah
pembinaan masjid Cina – masjid yang pengisiannya melibatkan identiti
kaum Cina.


Setakat ini tidak ada masjid yang khutbah, tazkirah atau ceramah
dalam bahasa Mandarin atau al-Qurannya ada terjemahan dalam bahasa itu.
Akibat daripada kekurangan tersebut ia mewujudkan persepsi bahawa kalau
memeluk Islam ertinya masuk Melayu. Ini persepsi yang salah. Cuba
bayangkan orang Cina, tiba- tiba dengan khutbah bahasa Mandarin.


Saya mendapat idea ini apabila seorang budak berketurunan India di
Jalan Masjid India memeluk Islam selepas mendengar khutbah dalam bahasa
Tamil. Justeru saya cadangkan oleh kerana kaum Cina selalu dikaitkan
dengan perniagaan tapak terbaik untuk membina masjid berkenaan ialah
bekas Penjara Pudu. Kita bina masjid berorientasikan Cina bermakna
masjid itu juga pusat perdagangan seperti mana di Surabaya dan
Palembang. Di masjid berkenaan semuanya menggunakan bahasa Mandarin.


Selain itu kompleks berkenaan mesti mempunyai kaitan dengan sikap
kaum Cina yang dianggap masyarakat perdagangan dengan cara mewujudkan
kedai-kedai di sekitarnya. Melalui cara ini kita akan dapat
menghapuskan persepsi bahawa memeluk Islam bererti masuk Melayu.


Suara orang Islam juga dikatakan tidak begitu terserlah dalam Majlis Peguam, apa halangan untuk menubuhkan Majlis Peguam Muslim?


ZULKIFLI: Halangan utama ialah legislatif. Sudah ada contoh di
United Kingdom dan Australia bahawa badan peguam seharusnya tidak
dimonopoli oleh satu badan sahaja. Di sesetengah negara mereka
mempunyai tujuh badan peguam, oleh itu sepatutnya ada badan peguam
alternatif di Malaysia, kenapa perlu ada Majlis Peguam sahaja? Kenapa
tidak diwujudkan Majlis Peguam Muslim, contohnya.


Ini bagi membolehkan peguam yang beragama Islam memilih sama ada
untuk berada di bawah Majlis Peguam atau Majlis Peguam Muslim. Tetapi
malangnya kita berhadapan dengan masalah kekangan tiada peruntukan
undang-undang yang membenarkan sebuah lagi badan peguam ditubuhkan
sedangkan kita ada Akta Profesion Guaman. Sekarang kelemahan yang ada
kepada Majlis Peguam ialah mereka tidak boleh meliputi peguam lain
contohnya seperti peguam syarie. Justeru apabila timbul masalah di
kalangan peguam syarie apa badan yang akan mengawal mereka? Dari segi
salah guna kuasa dan salah laku guaman ada juga peguam syarie yang
melakukannya, itu kita tidak nafikan tetapi siapa yang akan memantau
mereka. Ini peluang untuk pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk
menubuhkan sebuah badan baru Majlis Peguam Muslim yang merangkumi
peguam sivil dan syarie. Ini sudah pasti akan memberi peluang kepada
peguam Islam untuk duduk di bawah Majlis Peguam Muslim.


Setakat ini di kalangan peguam Islam mereka hanya menganggotai
badan yang bertaraf pertubuhan seperti Persatuan Peguam Muslim,
Persatuan Peguam Syarie dan Persatuan Peguam Pembela Islam.




Apakah peguam-peguam Islam tidak mampu menguasai pentadbiran Majlis Peguam?


ZULKIFLI: Masalah jumlah peguam Islam tidak cukup. Kita cuma ada
sekitar 40 peratus daripada keseluruhan peguam dan lebih buruk lagi
banyak peguam Islam tidak aktif. Macam pemilihan jawatan dalam Majlis
Peguam kalau peguam Islam benar-benar aktif sudah pasti kita boleh
menguasai majlis berkenaan. Ia berlaku kerana daripada 13,000 jumlah
peguam Islam hanya 2,000 hingga 3,000 sahaja yang mengundi. Kalau semua
40 peratus peguam Islam mengundi, boleh bawa perbezaan.


Ini pun sudah menampakkan bagaimana di kalangan peguam Islam pun tidak bersatu dari segi isu.

Komen Peribadi: Pada aku, inilah YB yang paling beretika dalam memperjuangkan agama. Aku lebih sokong beliau dari orang lain yang takut dalam mempertahankan agama....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...