Ahad, 19 April 2009

Santai News (Oldies): Motif abstrak batik lukis



MALAM Gala fesyen batik dan tenun di Kompleks Kraf, Jalan Conlay.

Pereka batik di Pantai Timur, Barat masih kekalkan identiti masing-masing dengan corak, teknik warna berbeza 

TEMASYA Batik dan Tenun Malaysia 2008 yang berlangsung di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Pelbagai gelagat pengunjung dapat disaksikan, ada yang sarat menjinjing bungkusan dan tidak kurang juga yang singgah sekadar meninjau. 

Bagaimanapun, kemeriahan temasya kali ini bukan hanya pada bilangan usahawan yang turut serta dan pengunjung yang makin bertambah dari setahun ke setahun tapi perang motif yang dihasilkan mewujudkan persaingan sihat sehingga kesinambungan batik lukis kekal hingga kini.

Tambah menarik, corak beragam gaya bersama pilihan warna yang memukau tidak hanya dihasilkan pengusaha batik lukis dari Pantai Timur, tapi kini batik lukis turut diusahakan secara komersil oleh pengusaha dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Pahang. 

Pemilik ZBY Design Kuala Lumpur dari Taman Koperasi Polis Fasa 2, Zubaidah Ramli, berkata walaupun batik lukis berasal dari Pantai Timur namun corak batik yang dihasilkan pengusaha negeri lain mempunyai identiti berbeza. 

“Corak yang kami hasilkan kebanyakannya adalah bermotif abstrak dengan teknik warna yang berbeza. Apa yang tersirat di sebalik lakaran yang kami hasilkan adalah berdasarkan rahsia alam seperti langit senja, daun hutan dan urat daun.

PELBAGAI rekaan menarik pada Temasya Batik dan Tenun 2008.

“Kami juga yakin kualiti kain kami berbeza malah produk batik ZBY Design turut diperluaskan mengikut kehendak pasaran. Sehingga kini kami turut menghasilkan bunting batik, hiasan dinding, cadar, langsir, skaf dan pario menjadikan penggunaan batik lukis lebih meluas,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu. 

Pengurus Pucuk Rebung, Roslan Hussain pula yakin kombinasi motif dan fesyen mampu mengetengahkan batik lukis yang sememangnya terkenal sebagai nilai warisan bangsa yang tidak lapuk ditelan zaman. 

“Batik lukis milik semua dan menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungannya berlandaskan kemahiran serta kreativiti tersendiri supaya ia diterima semua peringkat masyarakat. 

“Motif abstrak bersama fesyen siap untuk dipakai menjadi strategi kami untuk terus kekal di dalam industri ini. Kaftan wajar dijadikan contoh kerana sebelum ini ia sinonim sebagai baju tidur tapi apabila diberi sentuhan kontemporari, kaftan bersama pilihan fabrik dan corak eksklusif mula digayakan pada majlis serta pentas peragaan antarabangsa,” kata Roslan yang mempunyai kilang batik di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sementara itu, berbeza dengan pilihan batik Lizza Creation yang diketengahkan pengusaha dari Kelantan, coraknya masih kekal berlakar motif bunga-bungaan dengan mainan tona lembut. 

Roslaini Muhammad yang menjalankan perusahaan batik lukis sejak 18 tahun lalu berkata, Lizza Creation masih kekal dengan pilihan motif bunga yang menjadi identiti batik lukis Kelantan. 

“Kami memilih untuk kekal dengan motif dan tona warna yang menjadi identiti batik Kelantan kerana corak sebegitu tidak ditelan zaman berbanding lakaran abstrak. Buktinya, walaupun pelbagai lakaran moden dihasilkan, motif batik kami tetap habis terjual dan punyai pengikut sendiri. 

“Bagaimanapun, sasaran kami sekarang adalah generasi muda dan kaedah yang kami gunakan adalah mengekalkan teknik canting digabung bersama teknik ikat dan celup supaya tompokan warna serta motif terhasil kelihatan lebih menarik dan ‘muda’,” katanya. 

Pemilik Galeri Samasa, Wan Rolinawati Wan Abdullah, berkata perubahan corak dan warna batik dibuat mengikut aliran fesyen semasa. Kebanyakannya bermotif sederhana dan ringkas tapi tampak eksklusif. 

“Bagaimanapun, apa juga motif dan rekaan yang dihasilkan, kebanyakan pengusaha biasanya memilih untuk menamakan batik keluaran mereka sempena nama orang kenamaan atau selebriti bagi memastikan ia habis terjual,” katanya. 

Sempena temasya batik kali ini, Wan Roslinawati mempertaruhkan batik Seri Jeanne dinamakan sempena nama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan gabungan kain jacqued bersama sifon dengan lakaran motif rama-rama untuk memberikan kelainan kepada pengunjung terutama generasi muda. 

“Selain batik ‘overlap’ yang mahal dan eksklusif, batik bercorak ringkas menjadi pilihan paling digemari kerana ada segelintir segan memakai baju batik yang sarat lakarannya. Selain itu, penggunaan teknik canting dan motif ringkas membolehkan kami menjualnya dengan harga yang lebih murah,” katanya. 

INFO 

  • Batik lukis dikatakan mula diperkenalkan Syarikat Mohd Salleh (Samasa Batik) dari Kelantan sekitar tahun 1945 

  • Kedah turut menghasilkan Batik Merbok yang mengetengahkan motif berunsurkan flora, fauna dan artifak sejarah yang ada di dalam daerah Merbok, Kedah. 

  • Di Malaysia ada seramai 320 usahawan batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan bergiat aktif dalam pengeluaran batik. Secara keseluruhannya, Negeri Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai jumlah pengusaha tertinggi dalam pengeluaran batik. 

  • Batik dikatakan berasal dari India dan ada pula mengatakan ia dari Parsi. Bagaimanapun, ada pengkaji yakin batik berasal dari Kepulauan Melayu kerana seni mengecap lilin ke atas kain adalah seni warisan Melayu berdasarkan rumusan pengkajian sejarawan Winstedt dan Skeat.
  • Tiada ulasan:

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...