Pelbagai spesies mempesonakan boleh ditemui depan mata tanpa perlu menyelam ke dasar laut. Underwater World Langkawi kini masuk tahun ke-15 beroperasi dan ia masih menjadi tumpuan.NAMANYA begitu menggerunkan. Gelaran ‘naga’ yang diberi sangat tepat pada fizikalnya terang berwarna kuning keemasan dan bertubuh panjang bercabang serta berekor rumbai. Pergerakannya senyap dan tidak disedari, namun apabila ia ‘menerkam’ mangsa dan menelannya, ia berlaku sangat pantas.
Ironinya, ia hanya bersaiz kira-kira 20 sentimeter panjang. Spesies kuda laut Phycodurus eques yang berasal dari perairan cetek selatan dan barat Australia ini adalah antara yang boleh ditemui di Underwater World Langkawi (UWL). Bentuk fizikalnya sangat ideal untuk menyamar di celah tumbuhan dan karang laut.
Naga laut itu bukan satu-satunya ‘bintang’ tumpuan di UWL. Pengunjung yang melangkah masuk ke dalam kompleks gergasi ini boleh melihat secara dekat variasi hidupan akuatik lain antaranya kerapu gergasi, jerung dan penyu selain mengenali spesies ikan air tawar terbesar iaitu ikan Arapaima.
Sebagai salah salah sebuah akuarium marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Semenjak memulakan operasi pada 26 Ogos 1995, ia sudah menjadi persinggahan wajib bagi pelancong domestik dan antarabangsa yang bertandang ke Pulau Langkawi.
Berteraskan konsep dan tema ‘Pengetahuan, Pendidikan dan Hiburan’, objektif UWL adalah untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang kepentingan memulihara hidupan akuatik. Pada masa yang sama ia bertindak sebagai perantara yang memberi pemahaman tentang hubungan antara manusia dengan alam sekitar.
Apa yang menarik di UWL adalah terowong laluan sepanjang 15 meter yang merentasi akuarium air laut berisipadu 500,000 liter.
Apabila melalui terowong, pengunjung seumpama menjadi sebahagian daripada habitat marin di situ yang antaranya seperti spesies ikan kerapu gergasi, pari, jerung dan juga penyu. Siapa yang kelihatan ganas dan besar, dialah dianggap raja di dalam akuarium tersebut.
Tarikan lain yang pasti membuatkan sesiapa pun berasa kagum dan teruja adalah bahagian pameran ikan air tawar, pameran spesies cangkerang laut, kolam ikan koi, spesies invertebrata dan pameran batu karang laut.
Mahu melawan trauma atau fobia terhadap makhluk berdarah sejuk yang bersisik, memanjat dan melingkar? Ruang pameran mini yang menempatkan pelbagai haiwan reptilia dan haiwan berbisa turut sedia dikunjungi.
Biarpun bukan sebahagian daripada keluarga kumpulan akuatik, spesies eksotik seperti ular, cicak dan iguana itu turut meraih perhatian ramai.
Selain daripada menambah pengetahuan di teater 3-Dimensi, jangan lupa mengunjungi bangunan tambahan seluas 60,000 kaki persegi yang menempatkan pameran ekosistem hutan hujan tropika dan iklim sederhana.
Berjalan di dalam ruang ini membuatkan seseorang berasa dibawa ke dalam rimba sebenar, lengkap dengan sambutan nyaring para penghuninya. Burung bangau, kakak tua dan juga kenari saling bersahut-sahut. Cuma berhati-hati dengan kamera anda, lampu flash mungkin akan membuatkan burung-burung ini menjadi lebih agresif, kalau ia tidak bersembunyi ketakutan.
Di ruang sub-Antartika, telatah pelbagai spesies penguin boleh disaksikan melalui luar kaca penguinarium. Waktu yang paling ditunggu-tunggu pengunjung tentunya apabila petugas UWL memasuki kawasan perkumpulan penguin itu untuk memberi makan. Manja dan jinak, penguin-penguin itu seolah-olah minta disuap terus ke dalam mulut masing-masing!
1 ulasan:
r u a citizen of Pulau Langkawi ? so if i go Langkawi alone to travel, so where is the best choice(destination) for me to travel n where i need to stay with the minimum of budget?
-
tomeutm.blogspot.com
Catat Ulasan