Rabu, 17 Disember 2008

Jutaan pengguna Internet Explorer berisiko digodam

LONDON - Berjuta-juta pengguna yang mengakses internet menggunakan
pelayar Internet Explorer dari Microsoft mungkin menghadapi risiko
komputer mereka digodam kerana terdapat satu kecacatan tahap
keselamatan baru, lapor sebuah akhbar semalam.


Pakar-pakar keselamatan menggesa pengguna internet bertukar kepada
pelayar internet yang lain seperti Firefox, Opera atau Safari sehingga
masalah itu dapat diatasi.


Masalah itu pertama kali didedahkan pada minggu lepas dan ia
membolehkan penjenayah siber mengawal komputer serta mencuri kata
laluan rahsia sekiranya pengguna melawat laman yang dijangkiti virus.
Syarikat antivirus, Trend Micro menyatakan terdapat 10,000 laman web
berkompromi untuk mengambil kesempatan terhadap kecacatan tersebut.
Setakat ini, laman web itu yang kebanyakannya dari China digunakan
untuk mencuri kata laluan permainan komputer bagi dijual di pasaran
gelap.


Seseorang penggodam komputer boleh memperoleh sehingga £9,000
(RM49,110) dengan menjual kata laluan itu kepada penggemar permainan
komputer.Namun, seorang penasihat keselamatan, Paul Ferguson berkata,
terdapat kebimbangan kecacatan itu mungkin dieksploitasi bagi jenayah
yang lebih bersifat kewangan. - Agensi

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...