Rabu, 5 November 2008

Kekalkan warisan Pulau Pinang (Maintain The Penang Heritage)


Rancangan untuk mendirikan beberapa buah bangunan pencakar langit besar kemungkinan menggugat status zon warisan dunia ini.




TEMBOK Fort Cornwallis.




PEMBINAAN empat buah hotel di zon larangan pembangunan pesat di
Pulau Pinang telah menimbulkan 'kekecohan'. Isu ini mendapat perhatian
awam berikutan rancangan mendirikan bangunan pencakar langit di zon
itu. Besar kemungkinan, pelaksanaannya akan menggugat status zon
warisan dunia seperti yang diiktiraf oleh UNESCO.


Seluruh rakyat Malaysia menyambut baik berita pengisytiharan
Georgetown dan Melaka sebagai tapak warisan dunia pada 7 Julai 2008.


Dua bandar bersejarah ini tersenarai sebaris dengan 139 buah negara
lain yang mempunyai tapak warisan dunia. Namun, tugas penyenaraian ini
tidak semudah yang disangka.


Daripada pengumpulan dokumen zaman silam yang masih utuh dan sah
diterima hinggalah penyertaan yang menepati kriteria-kriteria yang
digariskan oleh UNESCO, segala-galanya mengambil masa untuk dinilai
oleh jawatankuasa khas.




MASJID Kapitan Keling.




Tujuh tahun lalu, kerajaan negeri Melaka dan Pulau Pinang membuat
aplikasi secara bersama, namun nasib tidak menyebelahi kerana dokumen
yang disertakan tidak lengkap, termasuk komitmen yang mengecewakan
daripada pihak berkuasa.


Namun begitu idea yang dicetuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika memegang portfolio Menteri Pelajaran pada tahun 1995 hingga 1999
itu diteruskan. Kini, komitmen yang konsisten membuahkan hasil yang
cemerlang dan boleh dibanggakan hingga generasi seterusnya.


Bukan hanya bergelar Bandar Raya Warisan Dunia atas nama tetapi
penyenaraian ini merupakan salah satu pemangkin utama dalam melonjakkan
sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Melaka.


Sungguhpun begitu, banyak perkara diungkitkan dan dipertikaikan dalam kes zon warisan dunia di Pulau Pinang.


Ada pihak membangkitkan isu kewujudan dan peradaban masyarakat
Melayu dipinggirkan sekalipun Masjid Melayu Jalan Acheh dan Masjid
Kapitan Keling diwartakan oleh UNESCO.




DERETAN bangunan kedai yang bercirikan seni bina British.




Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri
Mohd. Shafie Apdal enggan berganjak selagi tidak mendapat penjelasan
yang menyakinkan berhubung masalah ini daripada kerajaan negeri.


Orang ramai terutamanya anak jati Pulau Pinang, melahirkan rasa
terkilan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Pulau Pinang
memandangkan zon warisan dan zon ini perlu dijauhi daripada sebarang
jenis pembangunan pesat.


Ini kerana pembangunan pesat akan menjejaskan imej zon warisan yang tentunya akan dimamah era globalisasi yang tidak terkawal.


Tatkala penganugerahan ini menjadi milik Pulau Pinang selepas tiga
kali ditolak, Presiden Yayasan Warisan Pulau Pinang (PHT), Dr. Choong
Sim Poey tergamam seketika memikirkan kenapa pihak Majlis Perbandaran
Pulau Pinang (MPPP) tidak mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui
dalam perjanjian UNESCO sebelum ini.


"PHT telah mengenal pasti lima buah bangunan tinggi di kawasan utama
dan penampan zon warisan. Ini sudah tentu melanggar garis panduan pihak
UNESCO."


Sebelum ini, Choong pernah mengingatkan kesan proses urbanisasi yang
memberi tekanan di kawasan sekitar zon warisan sedunia. "Selama 12
tahun, PHT, MPPP dan kerajaan negeri yang lalu bekerjasama untuk
memperoleh pengisytiharan tersebut. Saya ingin tahu, apakah alasan MPPP
membenarkan projek ini diteruskan," katanya yang berpendirian tegas.




MENARA Jam Jubli Queen Victoria.




Ahli sejarah, Tan Sri Prof. Dr. Khoo Kay Khim, turut melahirkan
kekesalan atas sikap segelintir individu yang lebih mementingkan
keuntungan dan nilai komersial daripada menghargai nilai-nilai sejarah
yang terdapat di zon warisan dunia sejak beratus tahun.


"Warisan bangunan Pulau Pinang yang bercirikan budaya dan tradisi
turun-temurun, bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi juga dikenali
di negara barat. Kita semua berbesar hati dengan pemilihan Pulau Pinang
dan Melaka ini. Tetapi apabila ia dinodai, banyak hati yang terguris."


"Kerajaan harus memahami perasaan masyarakat sejagat. Projek ini
masih boleh dijalankan tetapi cari lokasi baru yang lebih jauh,"
katanya yang mencadangkan supaya idea asal untuk membina hotel
digantikan dengan penyediaan rumah kampung yang lebih diminati
pelancong asing.


Jika gelaran ini dilucutkan pada masa akan datang akibat sikap
manusia yang alpa dan mata duitan, maka keadaan akan menjadi lebih
buruk kerana proses permohonan terpaksa diulang semula.


Prof. Madya A. Ghafar Ahmad, pensyarah pusat perancangan bandar dan
perumahan Universiti Sains Malaysia (USM), juga berharap agar rancangan
untuk membina hotel setinggi 20 tingkat di zon warisan Georgetown
dibatalkan.


"Kalau nak bina bangunan hotel lima tingkat pun, kena fikir panjang.
Inikan 20 tingkat yang boleh menjejaskan kedudukan dan status zon
warisan tersebut. Apa salahnya mengubahsuai bangunan-bangunan lama yang
usang dan terbiar, ditukar menjadi hotel butik. Lagi cantik dan tidak
menggugat nilai sejarah," katanya.


Beliau juga menambah, menara tinjau yang didirikan di salah satu
tapak warisan dunia di Jerman telah diberi amaran keras oleh UNESCO
meskipun ia terletak tiga kilometer dari zon yang diwartakan.


Selain Pulau Pinang dan Melaka, Malaysia mempunyai dua lagi tapak
warisan iaitu Taman Negara Mulu, Sarawak dan Taman Negara Kinabalu,
Sabah yang diiktiraf pada tahun 1988.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...