Usman Awang
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu melayu, Bugis itu melayu
Banjar juga disebut melayu,
Minangkabau memang melayu
Keturunan acheh adalah melayu
Jakun dan
Arab dan Pakistani semua melayu
Mamak dan Malbari serap ke melayu
Malah mua'alaf bertakrif melayu
( setelah disunat anunya itu )
Dalam sejarah
Melayu itu mengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan.
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan budaya
Gendung akal laut bicara
Malangnya melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Bekelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tidak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga di jinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.
Berdamai cara melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.
Baiknya hati melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehinggalah tercipta sebuah kiasan:
" Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu- susukan
Anak d pangkuan mati kebuluran."
Bagaimanakah melayu abad dua puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu- sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan jika yakin pada kebenaran
Jangan malu ucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di Negara merdeka...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan