Selasa, 19 Ogos 2014

Lupa Daratan

Jalan Baru, Perai, Pulau Pinang. 16hb Ogos, 2014 - Menunding satu jari meletakkan kesalahan kepada orang lain tapi terlupa tiga lagi jari sedang menunding kesalahan diri sendiri. Ini memang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat dewasa ini.

Sudah menjadi lumrah manusia terutama orang melayu yang sudah sebati dalam kehidupan malah menjadi rutin hidup. Memang sudah kemestian bagi sesetengah pihak atau individu yang mengamalkan sikap demikian sebagai defensive diri selain meletakkan kesalahan pada orang lain atau mengkambing hitamkan orang lain untuk melepaskan diri dan kesilapan sendiri. Tetapi mereka ini sering terlupa, kesilapan itu akan makan diri sendiri.

Benar sekali apa yang para ulama selalu tegaskan, berhati-hati dalam memilih kawan. Kalau berkawan dengan orang jahil, kita pun akan jadi jahil. Kalau berkawan dengan para ahli agama kita akan mendapat keberkatan in sha Allah. Kalau sebut bab jahil ni, ada satu kisah yang sangat menyayat hati. Bukan nak jahilkan sesiapa, tetapi sebagai peringatan kepada diri sendiri dan juga sebagai iktibar kepada semua.

Ada satu kisah pasal seorang hamba Allah yang terlalu ego. Semua orang di sekelilingnya salah dan dia seorang saja betul. Terlalu betul. Pernah satu ketika, seorang rakan datang menuntut dan mahu ambil balik haknya setelah sekian lama memberi hamba Allah ni mengguna pakai lesen perniagaannya.

Hati siapa lah yang tak panas, masa nak pinjam, cakap sangat baik. Manis budi bicara, kalau bapa-bapa tengok pasti semua bersetuju untuk dijadikan menantu. Tatkala nak pulangkan balik, buat urusan sambil lewa, seolah-olah mereka ni sampah. Sikap orang melayu yang lupa daratan. Lebih menyakitkan apabila si penuntut hak pula disalahkan kerana memaksa hamba Allah ni supaya memulangkan semula lesennya.

Acapkali penuntut hak telefon, hamba allah ni akan mematikan panggilannya. Bila datang ke pejabat, pastinya hamba Allah ni akan melarikan diri tetapi tetap menyatakan dia berada di pihak yang benar. Saban hari sikap sebenar hamba ni semakin terserlah. Sikap putar belit, sikap tidak bertanggung jawab dan sikap suka menganiaya orang lain. Sampaikan pekerjanya juga dianiaya. Langsung tak rasa bersalah dengan apa yang dilakukan.

Pepatah sinis berbunyi, orang yang menganiaya orang lain hidupnya senang dan kaya. Meneliti pepatah tersebut ada kebenarannya. Senang kena sabotaj, senang kena santau, senang ke pulau, senang hilang kawan, senang dapat penyakit dan senang dapat bala bilamana ada orang yang teraniaya berdoa. Ingat! Orang yang teraniaya doanya sangat mustajab dan Allah menerima doa orang-orang ini. Jangan sampai kita mendapat kemurkaan Allah kerana sikap sombong kita.

Kaya? Memang kaya. Kaya dengan hutang, kaya dengan musuh dan kaya dengan pelbagai masalah yang menimpa. Untuk apa kita menganiaya orang lain? Tanya dengan hati. Muhasabah diri sendiri. Perlukah kita menganiaya orang? Kita takkan senang atau kaya dengan berbuat begitu. Malah kita akan papa kedana silap-silap boleh bankrupt dengan tindakan bodoh sendiri.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...