Wan Zaidah pernah dipanggil polis, dimaki dan disepak di muka hanya kerana berebut tempat melukis. Namun perkara itu tidak langsung melemahkan semangat beliau.
DAHULU, beliau hanyalah seorang pelukis jalanan biasa di Kota A'Famosa di Banda Hilir, Melaka.
Namun setelah berusaha keras dan menempuh pelbagai cabaran, beliau kini sudah boleh berbangga apabila namanya kini sudah sepopular kota berkenaan.
Mengimbas penglibatan awalnya dalam bidang lukisan, Wan Zaidah Wan Ibrahim, 44, berkata, beliau gemar melukis sejak di bangku sekolah lagi.
Akibat terlalu gemar melukis, telinga Wan Zaidah pernah ditarik oleh guru bahasa Inggerisnya kerana melukis ketika guru berkenaan mengajar.
Bakat lukisannya terus berkembang apabila dia bekerja di beberapa buah syarikat termasuklah di sebuah syarikat animasi.
Wan Zaidah berkata, hasrat menjadi pelukis jalanan timbul kerana beliau menyedari pekerjaannya ketika itu tidak memberi kepuasan.
"Hasrat ini menjadi semakin kuat apabila saya bertemu penyanyi veteran, Dahlan Zainuddin yang mencabar saya melukis di Masjid India jika saya betul-betul minat melukis.
"Saya kemudian memberanikan diri melukis di Masjid India setiap hari Sabtu dan Ahad iaitu ketika tidak bekerja," katanya.
Wan Zaidah mula seronok melukis di jalanan apabila memperoleh pendapatan yang memuaskan walaupun mutu lukisannya ketika itu masih rendah.
Beliau kemudian berkenalan dengan seorang pelukis, Zulkainain yang menemukannya dengan seorang lagi pelukis, Hajah Suria.
"Perkenalan dengan mereka menyebabkan saya nekad berhenti kerja dan menjadi pelukis sepenuh masa di Central Market pada tahun 1994," katanya.
Wan Zaidah kemudian mengembangkan sayapnya di luar Kuala Lumpur apabila membuat keputusan melukis di Kota A'Famosa, Banda Hilir, Melaka sejak 2005.
Pahit manis
Mengenai kemahiran melukisnya, Wan Zaidah tidak pernah mempelajarinya di institusi pengajian tinggi, sebaliknya bergantung kepada bakat semula jadinya dan tunjuk ajar dua rakan iaitu Hajah Suria dan Raja Muhamad.
Menjadi pelukis jalanan memang mempunyai banyak cabaran dan dugaan, dan perkara itu diakui Wan Zaidah sendiri.
"Saya pernah masuk balai polis, dimaki dan disepak di muka hanya kerana berebut tempat melukis. Namun ini tidak langsung melemahkan semangat saya menjadi pelukis jalanan," katanya.
Turun naik jualan lukisannya sudah menjadi perkara biasa dalam diari pelukis jalanan, tetapi ia tidak sedikit pun menggugat dan mematahkan semangat ibu kepada tiga orang anak ini.
Menurutnya, beliau pernah tidak menerima sebarang tempahan selama tiga bulan ketika menjadi pelukis jalanan di Kota A'Famosa.
Ketika itu beliau bernasib baik kerana menerima beberapa tempahan lukisan daripada kenalan pelanggan-pelanggannya.
"Pelanggan di Kota A'Famosa ini bermusim, ketika cuti sekolah memang ramai pelanggan. Saya pernah dapat RM400 dalam sehari.
"Masa pelanggan ramai, bolehlah dapat RM3,000 sebulan. Masa tak ada pelanggan, sebulan dalam RM500 saja," katanya.
Menurut Wan Zaidah, walaupun pendapatan sebagai pelukis jalanan tidak menentu, namun kerjaya tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah untuk beliau menyara keluarganya.
Pendapatan sebagai pelukis jalanan itulah yang membesarkan anak-anak beliau semenjak kematian suaminya.
"Malah, seorang anak saya kini belajar dalam jurusan perubatan. Setiap minggu saya beri dia RM200 hingga RM300.
"Jangan pandang rendah pelukis jalanan yang duduk di kaki lima. Kami hanya mencari rezeki yang halal dengan melukis," katanya.
Beliau lebih dikenali sebagai pelukis potret yang menggunakan pensil dan pastel berwarna.
Mengenai harga, Wan Zaidah berkata, setiap lukisan potret yang dijualnya bergantung kepada saiz, hitam putih atau berwarna.
"Sebuah lukisan potret dijual pada harga antara RM18 hingga RM470. Namun, ia bergantung kepada lukisan. Jika ia sukar dan mengambil masa lama untuk menyiapkannya, besar kemungkinan ia dijual mahal sedikit," katanya.
Menurutnya, beliau hanya memerlukan tempoh antara 10 hingga 15 minit untuk menyiapkan lukisan potret yang dilukis secara langsung.
"Lukisan potret yang ditempah pula boleh disiapkan dalam masa dua atau tiga hari," katanya.
Setakat ini, ribuan lukisan Wan Zaidah berjaya dijual dan sambutannya menggalakkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan