Isnin, 24 November 2008

Bicara Mufti : Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin

Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin.

Minggu depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri
Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada
minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang
tempoh dua tahun menjadi mufti.


Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu
kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh
kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama
menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.


Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini
adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal.
Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan
yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah
tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar.


Menegak yang makruf itu adalah dengan
cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara
mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan
menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari
ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita
begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh
Allah s.w.t.


Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan.
Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga
sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan
pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah
memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara
halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan
kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara
langsung.


Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan
jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh
perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga
taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.


Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya
kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri
kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak
semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.


Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:


“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau
mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting
perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu
apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.


Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah
soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang
lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai
pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.


Nabi s.a.w. bersabda:


“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.


Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika
diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh
disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga
generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat
Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal
pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami
kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah
penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.


Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk
mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara
penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta
menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan
dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan
menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya
makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah
keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.


Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera
pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah
kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah
sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur
ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan
untuk menghafalnya.


Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah
pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa
maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri
menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti
yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka
sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau
dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit
lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.


Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:


“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang
lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu
menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal
suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami
menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah
berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih
Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang
telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi
s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi
s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada
bersamamu”.
(al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab
Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka
bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au
Qabilta
, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku
nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah
nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau
terima”.


Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan
hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting
proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh
kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan
persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila
proses itu berlaku maka ia sah.


Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau
tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling
tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang
menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam
menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah
r.h (meninggal 728H) menyebut:


“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang
dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz
atau perbuatan”.
(petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).


Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”.
Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah
pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas
dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok
kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun
dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini
adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.


Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh
Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak
dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup
keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan
perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.


Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus
kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar
cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak.
Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman
berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah:
(maksudnya)


“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu)
kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang
mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara
yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan
tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman
(terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka
sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu
menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan
permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan
kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan
hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah
kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu”
(Surah al-Baqarah, ayat 231).


Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan,
maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang
sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau
kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat
proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.


Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu
proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana
mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil
tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa
dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr
Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:


“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri,
kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini
diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in”
(al-Mufassal, 7/217).


Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi
isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang
dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat
seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan
syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak
anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.


Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:


“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang
boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam
apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”.
(ibid 8/439).


Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah
Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan
untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan
diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan
segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah
biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.


Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka
dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita
menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula
pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama
hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan
adil.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...