Isnin, 18 Februari 2008

Short Story : Sesuai Dengan Keadaan Kita

Arman masih lagi tekun di hadapan monitor komputernya komputernya,
mengetuk-ngetuk papan kekunci. Sesekali dia menyentuh tetikus yang terletak
di sebelah kanan monitornya. Sibuk. Sibuk sekali. Semenjak
dipertanggungjawabkan dengan projek baru ini oleh majikannya, Arman begitu
sibuk sekali. Sehingga kesemua kerjanya yang tidak sempat disiapkan di
pejabat dibawa pulang bersamanya ke rumah.

Jam menunjukkan sudah pukul 9.00 malam. Normah, isteri Arman baru sahaja
keluar dari bilik setelah selesai menunaikan solat fardhu Isya'. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya melihat Arman masih tidak berganjak dari
meja komputernya. "Bang, tak berhenti untuk solat dulu ke? Kerja tu kan
nanti boleh disambung?" tegur Normah dengan lembut. "Hm..." dengus Arman
sebagai membalas peringatan oleh isterinya.

Normah berlalu. Dia tidak berani untuk menegur dengan lebih lagi. Normah
cukup kenal benar dengan perangai Arman yang panas baran. Lalu Normah
mengambil bakul yang dipenuhi dengan pakaian yang telah kering yang diambil
dari ampaian petang tadi. Sewaktu melintasi sisi Arman, tangan Normah telah
disambar oleh suaminya. Arman mengenggam tangan Normah sambil merenungnya
seketika.

"Awak tahu tidak projek ini penting untuk saya? Ini bagaikan nyawa kerjaya
saya. Tak perlu awak nak susah-susah ingatkan saya waktu solat seperti saya
anak-anak awak. Tugas ini amanah majikan kepada saya. Saya pasti Allah
faham apa yang saya buat. Tahu?" bentak Arman. Normah hanya tunduk
memandang lantai. Memanglah, jika diikut dari segi pendidikan, Arman jauh
lebih tinggi darinya. Sama ada akademik mahupun agama.

Arman melepaskan gengaman tangannya terhadap Norman dan kemudian meneruskan
kerjanya. Begitu asyiknya dia menaip sehingga terlupa waktu terus berlalu.
Sedar-sedar, jam sudahpun pukul 12 tengah malam. "Allah... Dah larut
rupanya. Patutlah aku rasa mengantuk sangat." bisik Arman kepada dirinya
sambil menyandarkan badannya ke kerusi. Dalam tidak sedar Arman terlelap di
tempat duduknya.

*******

Arman hanya tersedar apabila terasa bahunya bagaikan digerak oleh
seseorang. Dengan mata yang kelat, Arman melihat sekujur tubuh yang besar
dan tinggi berada disebelahnya. Arman cuba mengangkat kepalanya tetapi
rasanya, mungkin 'makhluk' itu telah menahan kepalanya dari mendongak.

"Hai manusia. Hari ini aku akan pisahkan engkau dari dunia yang engkau
cintai ini!" suara milik tubuh yang besar itu bagaikan halilintar membelah
bumi. "Tapi... Siapa engkau...?" Tanya Arman dengan nada yang
tersekat-sekat. Seraya kemudian makhluk itu mula ketawa membuatkan Arman
terasa bagaikan rumahnya sedang dilanda gempa bumi.

"Kau tak perlu tahu siapa aku. Mari. Ikut aku. aku akan segera membawamu
bertemu dengan Tuhanmu yang sering kau abaikan!" kaki Arman menggeletar
mendengar kata-kata makhluk tersebut. Bertemu Tuhan? Allah? Serta-merta
Arman teringat bahawa dia masih belum menunaikan solat. "Wahai makhluk,
tolonglah aku. Jika benar kau ingin membawa aku bertemu denganNya,
izinkanlah aku tunaikan solat dahulu..."

Sekali lagi makhluk itu ketawa. "Apa? Kau masih ada keinginan untuk
bersolat? Bagus... Tetapi mengapa baru sekarang? Sekarang sudah jam berapa
wahai manusia?" Arman terdiam ketika diajukan soalan begitu. Serta-merta di
pandangannya kelihatan wajah Normah yang telah mengingatkannya agar segera
menunaikan kewajipannya tadi. Bukan itu sekali sahaja tetapi
berbilang-bilang kali.

"Aku hairan dengan kamu manusia. Tatkala terdengar berita tentang lombong
emas di suatu tempat, kamu akan bersegera ke sana. Padahal ianya hanyalah
sementara. Dan apabila terdengar tentang sesuatu nikmat, kamu juga akan
segera ke sana. Sedangkan ianya sia-sia. Tetapi Allah mengkhabarkan kamu
tentang harta di syurga yang kekal dan nikmatnya yang tidak terhingga di
sana, mengapa kamu tidak berkejaran untuk mendapatkannya?"

Arman terkedu. Terasa benar apa yang dituturkan oleh makhluk itu tepat
mengena batang hidungnya. Airmatanya mula menitis. Arman mulai kesal dengan
apa yang telah dilakukan olehnya selama ini. Dia selalu alpa. Dia selalu
lupa. Terkadang memang sengaja dia buat-buat lupa untuk mendirikan solat
pada awal waktu. Bukan itu sahaja. Malah sesiapa yang cuba mengingatkan
pasti akan 'disekolahkan' olehnya.

Hidupnya terlalu mengutamakan dunia. Jika cuba diingatkan, dengan bersahaja
Arman akan katakan bahawa Nabi saw menyuruh kita makan terlebih dahulu jika
makan sudah dihidangkan. Ataupun dia akan sibuk mengulang tentang amanah.
Katanya tugasnya adalah amanah dan sebagai muslim dia diwajibkan menunaikan
amanah. Memang rakan-rakannya tidak mampu melawan hujahnya. Itulah yang
memang Arman mahukan.

Cuma sekali, Arman memang cukup sakit hati dengan Majid. Kerana Majid
pernah mematikan hujahnya. Kata Majid, benarlah Nabi saw kata makan dahulu
jika makanan telah terhidang. Tetapi Nabi saw makan tidak seperti kita.
Baginda hanya memakan roti dan sup atau beberapa butir kurma. Dan berhenti
pula sebelum kenyang. Jadi masih sempat bersolat di awal waktu di masjid
secara berjamaah. Geram Arman kerana tidak mampu menjawabnya.

"Wahai manusia! Bersedialah untuk dihisab. Bersedialah untuk ditanya
tentang perintah yang telah diamanahkan buatmu. Bersedia dengan alasan
mengapa kau meninggikan amanah hamba lebih dari Pencipta mereka." Arman
kali ini betul-betul menggeletar. Dia bagaikan sudah terasa bahang api
neraka yang bakal menyambarnya. Dia bagaikan sudah terlihat ular-ular gemuk
yang sedang menantinya di lembah yang terpencil.

"Siapapun engkau wahai makhluk, tolonglah lepaskan aku. Tolonglah.
Tolong..."

*******

"Bang! Abang! Ya Allah... Tidur duduk macam ni pun masih boleh mengigau?"
Normah menggoncang bahu Arman. Kuatnya bunyi Arman mengigau sehinggakan
Normah yang telah tertidur di bilik pun boleh terjaga jadinya.

Arman bingkas bangun. Dia meraba-raba seluruh tubuhnya. "Alhamdulillah...
Aku masih hidup!" Arman segera berlari ke bilik air. "Abang dah taubat Mah.
Abang tak nak tangguh solat lagi!" jeritnya kepada Normah ketika hampir
sampai ke pintu bilik air. Normah mengucapkan kesyukuran mendengar
pertuturan Arman tadi. Tetapi dia jadi tertanya mimpi apakah agaknya yang
mampu menyadarkan suaminya itu tadi. Tidak mengapalah. Yang penting Arman
kini telah sedar.

Bagi Arman, mimpi itu cukup memberi makna. Benar, amanah wajib dijaga
tetapi amanah Allah adalah sebesar-besar amanah yang lebih utama. Dan benar
Allah memerintahkan mencari rezeki tetapi bukan sehingga mengenepikan
perintahNya. Sesungguhnya rezeki itu Allah yang beri. Bukan majikan. Bukan
projek yang sedang dibuatnya. Sesungguhnya Arman merasa sungguh beruntung
kerana diperingatan sebelum tibanya hari di mana tiada lagi peringatan yang
berguna...

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...